Monday 12 March 2012

Tanah Tumpah Darahku...

Negara Malaysia berlatarbelakangkan bangsa yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan agama serta pengalaman budaya, semangat toleransi dan saling menghormati yang menjadi teras kepada perpaduan negara. Justeru itu, segala usaha yang sangat murni dalam menyemai dan memperkukuhkan semangat kebangsaan ke dalam jiwa masyarakat khususnya generasi muda perlu disokong dan diperkasakan.

Tanpa perpaduan yang erat antara kaum, negara akan terdedah kepada pelbagai ancaman yang boleh menjejaskan kestabilan, kedaulatan dan maruah. Melalui perpaduan yang erat dan kukuh, negara akan dapat menikmati kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan sosial. Perpaduan akan wujud apabila anggota masyarakat dapat disatupadukan menerusi perkongsian identiti, nilai dan perasaan kebangsaan. Dengan ini, akan lahirlah sebuah masyarakat Malaysia yang sejahtera, bermaruah dan berwawasan.

Agama merupakan panduan hidup. Oleh itu orang yang beragama akan sentiasa berkelakuan baik dan menjauhi perkara-perkara yang terlarang. Perasaan dengki khianat, kecurian, rasuah, penyalahgunaan dadah atau keruntuhan moral di kalangan masyarakat tidak akan berlaku. Contoh yang boleh kita renungkan ialah sikap hormat menghormati kedua ibubapa, guru-guru, orang yang lebih tua atau jiran tetangga merupakan nilai moral yang paling asas yang perlu diberi perhatian. Nilai ini boleh mengurangkan masalah tingkahlaku yang lain.

Malaysia sebuah negara yang mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara dan simbol perpaduan dan keutuhan seluruh rakyat negara ini. Kita bertanggungjawab mempertahankan negara daripada serangan musuh. Kita juga perlu memberi sokongan dan kerjasama kepada pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.bagi menjadikan Malaysia maju dan bemaruah.