Monday 12 March 2012

Generasi Muda Berperanan Membangunkan Negara


Golongan pewaris atau golongan muda bukan sahaja penting dari segi komposisi dan representatif mereka di dalam populasi negara, tetapi juga dari aspek ekonomi dan politik di mana dari segi ekonomi golongan belia berumur antara 15 hingga 40 tahun mewakili 66 peratus daripada populasi produktif atau golongan yang bekerja di negara ini. Dari segi politiknya pula, golongan pengundi muda dijangka menjangkau lebih daripada 7 juta orang atau hampir 49.7 peratus daripada daftar pemilih pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Ini membuktikan bahawa golongan belia bukan sahaja penting dari segi potensi, malahan juga dari aspek realiti sumbangan terkini mereka sama ada berbentuk ekonomi, sosial mahupun politik kepada negara.

Jika dipecah segmen belia negara kepada tiga kumpulan sasaran iaitu kumpulan pertama bagi yang masih remaja yakni yang masih menuntut atau berperanan sebagai pekerja muda dengan takuk usia antara18 hingga 23 tahun. Kumpulan kedua untuk golongan belia bujang seperti lepasan graduan di usia 24 hingga 29 tahun dan kumpulan ketiga khusus kepada kelompok yang telah berkahwin dan bekerluarga di usia 30 hingga 35 tahun, kita akan mendapati keseluruhan jumlah seramai 7.78 juta orang dengan kumpulan pertama mewakili 38 peratus, kumpulan kedua 29 peratus dan kumpulan ketiga seramai 33 peratus.

Setiap kumpulan sasaran ini mempunyainisu, masalah, citarasa serta tuntutan yang berbeza di mana sebagai contoh kelompok pelajar di universiti mungkin berminat kepada isu-isu yang menyentuh keperluan mereka sebagai pelajar, minat mereka sebagai golongan muda seperti sukan dan muzik, idealisme perjuangan dan kepimpinan serta potensi kerjaya selepas belajar. Manakala golongan ketiga yang mewakili mereka yang mempunyai keluarga pula bukan sahaja menitik beratkan tentang kerjaya dan pendapatan tetapi juga isu kos sara hidup, perumahan, keperluan bayi dan anak serta keselamatan keluarga.

Generasi muda sekarang amat terdedah kepada teknologi maklumat sebagai pengguna dan penyumbang. Generasi belia masa kini lebih kritikal di dalam pandangan dan penilaian mereka. Ini selaras dengan idealisme golongan muda dan juga unjuran daripada pendedahan mereka kepada pelbagai sumber maklumat terutama dari sumber internet serta peningkatan golongan terpelajar di kalangan belia. Di samping itu juga, mereka dilihat lebih cenderung dengan pendekatan inklusif dengan merentasi agama dan bangsa. Dari segi pendekatan politik pula, golongan muda memilih pendekatan inklusif yang mengambil kira kesemua rakyat.

Pihak pemerintah perlu melipatgandakan usaha dalam mendampingi dan memenangi hati sokongan generasi muda dengan menggunapakai dan mendominasi platform internet dan teknologi terkini seperti facebook, twitter, youtube dan blogs serta program-program yang sesuai dengan mengambil kira trend dan ikutan budaya generasi muda sekarang. Para pemimpin utama disarankan menggunakan semua saluran media baru untuk berinteraksi dengan rakyat. Segala aktiviti yang dirancang hendaklah mengambil kira demografi kelompok generasi muda yang disasarkan bagi memastikan kejayaan program tersebut dan keserasian dengan isu, minat nahupun permasalahan spesifik kelompok yang terbabit.

Masyarakat pula tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil reaksi menunding jari atau menghukum anak-anak muda kita. Berilah mereka bimbingan, peluang dan ruang serta marilah kita semua berusaha memahami apakah citarasa dan aspirasi anak muda. InsyaAllah dengan sikap akomodatif, bimbingan dan semangat akrab yang ditonjolkan, anak-anak muda akan lebih berjaya maju dan cemerlang. Kerajaan mesti mengamalkan pendekatan "youth-friendly" atau mesra orang muda di dalam memahami aspirasi dan denyut nadi generasi muda dengan terus bersikap terbuka dan mahu mendengar segala pandangan, keluhan mahupun permasalahan orang muda kerana kita mahu mereka semua turut serta bersama-sama di dalam membina perpaduan dan melakar masa hadapan negara kita ini.