Tuesday 13 March 2012

Mungkin ini pandangan Orang Muda...!!

Setiap undi orang muda amat penting dalam usaha memastikan kemenangan sesebuah Parti dalam Pilihanraya akan datang. Berhadapan dengan golongan ini bukannya mudah kerana mereka ini merupakan golongan bermaklumat malah ada di antara mereka ini agak kritikal ketika memberi pendapat. Oleh itu setiap perkara disampaikan perlu disertakan dengan fakta dan bukannya hanya sekadar omongan kosong. Mereka juga tidak mudah dimomokkan dengan kempen-kempen yang bersifat retorik terutama golongan pengundi muda.


Pemimpin harus menyakinkan mereka bahawa BN satu-satunya parti yang mampu membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan dalam masa yang sama mampu memenuhi aspirasi rakyat. Golongan muda ini perlu didekati dengan pelbagai cara kerana tidak mudah untuk mempengaruhi mereka menyertai politik. Ambil tahu minat mereka. Kadang-kadang perkara yang kita suka tidak semestinya memenuhi citarasa mereka. Kadang-kadang perkara yang mudah dan ringkas sudah memadai seperti duduk bersama-sama di kedai kopi sambil berbual mesra dan mendengar permasalahan mereka sudah cukup memberi kesan yang mendalam. Selitkan isu-isu semasa dan isu-isu yang pembangkang mainkan secara santai dan bersahaja. Jika peluang ini tidak digunakan maka mereka akan percaya dengan isu yang dimainkan pembangkang. Berjaya atau tidak cara kita, pokok pangkalnya adalah mencuba.


Persepsi pengundi muda di bandar terhadap kepimpinan perlu dibaiki, jangan menekan atau mencantas anak muda untuk menyertai UMNO. Anggaplah mereka sebagai aset bukan liabiliti atau ancaman. Disamping itu bimbingan berterusan hendaklah diberikan agar mereka tidak lari dari tujuan asal berpolitik. UMNO hanya boleh 'dijual' dari sudut kepimpinan. Jika baik pemimpinnya, maka ramailah yang akan mengikutinya. Anak muda sekarang ini tidak tahu apa perjuangan UMNO, siapa UMNO dan apa peranan UMNO. Bila sebut sejarah, mereka tidak suka dengar tetapi kalau pemimpin yang ada bijak menggunakan cara untuk menghampiri mereka dan membawa mereka agar sedar tanggungjawab mereka sebagai generasi Melayu muda, maka mereka dengan sendirinya akan datang kepada UMNO.

Aktiviti dan program pembentukan semangat jatidiri yang tinggi dan mempunyai daya tahan yang kental perlu diadakan berterusan. Selain disibukkan dengan aktiviti sukan dan aktiviti yang memenuhi kehendak mereka, jiwa mereka juga perlu diisi dengan ilmu keagamaan supaya wujud keseimbangan dalam melahirkan generasi muda yang cergas, cerdas dan memiliki keperibadian mulia kerana mereka ini nanti bukan sahaja memperjuangkan politik semata-mata tetapi maruah Agama, Bangsa dan Tanah air.


Generasi muda sebenarnya dahagakan personal touch daripada pemimpin. Mereka akan mencintai Parti sekiranya pemimpin mendengar denyut nadi mereka. Kalau pemimpin yang mereka sukai menjadi calon maka ramailah yang tertarik untuk mengundi calon tersebut semasa pilihanraya. Zaman memilih calon mengikut selera parti daripada selera rakyat sudah berubah dan ini harus kita akui. Bersambung...