Tuesday 13 March 2012

Kisah Orang Buta dan Gajah

Cari titik persamaan, bukan titik perbezaan... Ungkapan ini sentiasa didengari masa kini, salah satu lirik lagu nyanyian ND Lala yang selalu dimainkan di kaca TV. Kerja berpasukan amatlah murni tetapi jika persefahaman tidak wujud ianya hanya akan mengundang lebih banyak masalah. Sikap toleransi dan tegur menegur sesama rakan sepasukan amat baik jika tidak disalah erti dan diterima dengan hati terbuka.

Tetapi kebiasaannya perkara yang negatif lebih banyak terjadi. Sikap bertolak ansur jika tidak dihargai hanya akan mengundang ketidakpuasan hati yang terpendam. Selama mana mampu dipendam jika tidak dileraikan. Bagaimana cara untuk dileraikan jika satu pihak yang lain tidak mahu mendengar pandangan dan tidak boleh dibawa berbincang. Sentiasa mahu mencelah dan tidak menerima pandangan rakan. Ibarat tidak menghormati perbincangan itu sendiri.

Jangan biarkan diri menjadi laksana orang buta yang memegang kaki gajah akan mengatakan rupa gajah itu seperti tiang. Sebaliknya otang buta yang bijak akan mendengar pandangan orang-orang buta yang lain.Orang buta yang memegang belalai mengatakan rupa gajah seperti ular, orang buta yang memegang badan gajah mengatakan rupa gajah seperti dinding. Yang memegang telinga mengatakan rupa gajah seperti kipas. Si buta yang bijak akan dapat membayangkan rupa gajah yang sebenar dengan mendengar pendapat dan pandangan dari semua orang-orang buta tadi. Manakala si buta yang taksub terus berpegang kepada pandangan dia sahaja dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Dan teruslah dia mentafsir rupa gajah secara tidak tepat. Oleh itu, bukalah fikiran kita untuk menerima pandangan orang lain, barulah kita dapat gambaran yang lebih tepat.