Tuesday 3 December 2019

NEGARA? BANGSA? MALAYSIA





Kenichi Ohmae (ahli teori jepun) menyifatkan abad ke 20 dan awal abad ke 21 sebagai era berakhirnya negara bangsa, ini kerana ia lebih kepada pembentukan dunia tanpa sempadan
ditunjangi oleh aliran kecanggihan berasaskan teknologi maklumat. Sebagai ganti negara bangsa, Ohmae mengungkapkan kepentingan region state (negara wilayah) yang berperanan sebagai pusat hubungan dengan dunia global. Walaupun begitu, melampaui abad ke 21 ini, persoalan pembinaan negara bangsa masih berlegar dalam perbahasan dikalangan pelbagai pihak khususnya para sarjana.

Dalam pada itu, kerajaan dan kepimpinan negara-negara tertentu masih berusaha untuk membentuk sebuah negara bangsa yang ideal bagi sempadan geo-politik masing-masing. Malaysia tidak terkecuali dalam usaha tersebut dan masih bergelut untuk membentuk sebuah negara bangsa yang sempurna bagi negara ini. Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pemimpin namun unsur-unsur penghalang yang kebanyakannya berakar umbikan sentimen perkauman masih mengepompongi sebahagian rakyat negara ini. Ini termasuklah pemimpin-pemimpin politik yang sepatutnya berperanan sebagai role model bagi mencapai matlamat tersebut.






Persoalan juga timbul, mengapakah Malaysia yang menjangkau usia kemerdekaan selama 62 tahun masih tercari-cari identiti untuk membentuk negara dan bangsanya sendiri? Pelbagai alasan dikemukakan dari aneka sudut pandangan dan keilmuan bagi mewajarkan kegagalan tersebut. Sekadar mengambil beberapa contoh, antara isu panas yang timbul termasuklah tindakan sebahagian pemimpin-pemimpin politik yang memainkan sentimen-sentimen perkauman bagi meraih populariti dan simpati. Nilai-nilai yang dianggap sensitif seperti ketuanan Melayu dan hak keistimewaan pribumi juga turut dibangkitkan oleh segelintir pihak yang buta sejarah.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sejarah merupakan tunjang bagi mengukuhkan kesinambungan pembinaan sebuah negara. Bagi melengkapkan proses tersebut, saluran terbaik merealisasikannya ialah melalui pendidikan khususnya pendidikan sejarah yang merupakan teras penting dalam dasar pendidikan. Ia juga merupakan satu keperluan dalam proses pemantapan kewarganegaraan bagi membolehkan sesebuah sejarah bukan sahaja dihargai dan dihayati malah elemen penting lain ialah sebagai suatu pengajaran, pedoman ataupun asas perencanaan.

Melalui sejarah, pengalaman masa lampau merupakan satu rujukan terbaik bagi generasi masa kini dan akan datang membentuk sebuah negara bangsa.



Rujukan :

MOHAMAD RODZI ABD RAZAK
PEMBINAAN NEGARA BANGSA MALAYSIA: PERANAN PENDIDIKAN SEJARAH DAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN