Thursday, 13 December 2012

Petikan ucapan dasar Presiden UMNO





Berikut petikan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO ketika merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini:




* “Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi."

* “Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini beserta wawasan masa depan."

* “Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, Pasti tidak akan hilang bisanya."

* “Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang."

* “Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas..., di atas kepentingan individu."

* “Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia."

* “Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat."

* “Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri."

* “Inilah...inilah tahap kualiti dan hal ketidakmampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap."

* “Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe"elnya berubah pulak."

* “Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan tiga pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus."

* “Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah."

* “Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain."

* “Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia Pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud."

* “Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan."

* “Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0 dan tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua."

* “Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka."

* “Pilihan raya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama atau didewasakan dengan kebencian yang membara."

* “Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri."

* “Justeru, saya selaku Presiden UMNO , bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam."

Sumber :
Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Politik/20121129/po_18/Petikan-ucapan-dasar-Presiden-UMNO#ixzz2EtpncIPd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, 12 December 2012

Mampukah Anwar Mengawal Keretakan Hubungan Pakatan Pembangkang??

      
                       



Akhir-akhir ini rungutan akar umbi DAP semakin kuat kedengaran.  Rata-rata merasa kecewa dengan kepimpinan parti yang kian hari kian menunjukkan sifat kukubesinya.  Parti itu telah dua kali menunda proses pemilihan dan antara penyebabnya ialah kebimbangan kepimpinan yang mula menyedari sentimen akar umbi yang tidak menyenangi cara mereka ini.


Akar umbi telah menunjukkan ketidakpuasan hati mereka dengan cara memberi sokongan kepada pemimpin yang tidak termasuk dalam kumpulan sahabat dan keluarga Tokong Lim.   Beberapa orang yang menjadi pilihan Lim Guan Eng tewas dalam pemilihan, antaranya Wong Kah Woh dan setiausaha politiknya, Ng Wei Aik.  

Ini adalah petanda jelas ‘pemberontakan senyap’ oleh akar umbi DAP dan Tokong Lim tidak mampu lagi untuk menutup mata mengenainya. 


Walaubagaimanapun, cakap-cakap kedai kopi kedengaran ramai yang yakin bahawa Tokong Lim tidak akan berdiam diri dan akan terus berusaha agar semua ahli-ahli menyembahnya.   

Masalah DAP menjadi lebih parah apabila PAS juga mula menunjuk taring terhadap parti itu  yang selama ini dilihat sebagai Ketua.   

PAS yang juga menghadapi masalah keyakinan akar umbi terpaksa membuktikan yang mereka bukan anjing kepada DAP sepertimana yang dituduh oleh musuh mereka.  Maka, isu wanita Muslim memotong rambut lelaki dan khalwat antara bukan Islam pun menjadi topik pertengkaran hebat antara PAS dan DAP.



PAS nampaknya begitu tegas dan enggan berganjak dari keputusan dalam kedua-dua kes tersebut konon atas nama Islam, yang menjadi dasar perjuangan parti.  Namun, amatlah menghairankan apabila ketegasan yang sama tidak ditunjukkan dalam kes yang jauh lebih berat seperti zina, gejala LGBT, malah kes murtad sebelum ini.  Dalam kes murtad misalnya, PAS sanggup kehilangan pemimpin yang banyak berjasa seperti Datuk Dr. Hasan Ali demi menjaga hati DAP.  Tetapi hairan sekali apabila PAS sanggup pula mengelar hati DAP kerana enggan membenarkan wanita Islam memotong rambut lelaki.  

Lebih dahsyat lagi bila PAS juga sanggup menerima seorang pengamal LGBT sebagai Perdana Menteri tetapi tidak sanggup bertolak ansur dengan pasangan bukan Islam yang berkhalwat. 


Dewan Himpunan Penyokong PAS pula lebih merupakan jurucakap DAP dari penyokong tulen PAS.  

Apa yang menarik lagi ialah parti PKR pula memilih untuk berdiam diri dan enggan menonjol di kala sekutunya memukul gendang perang sesama sendiri, sedangkan musuh sudah mula mengasah senjata untuk menghadapi pilihanraya.   

Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pembangkang dan bakal Perdana Menteri PR langsung tidak memberi kenyataan dalam menangani kemelut yang melanda parti-parti sekutunya.   Mungkin beliau cukup maklum bahawa apa jua kata-kata atau arahannya tidak membawa apa-apa makna bagi DAP mahupun PAS kerana tiada siapa yang menghormati peliwat dan penyalahguna kuasa sepertinya.  

Justeru, Anwar hanya membiarkan sahaja kedua-dua parti sekutunya itu bercakaran dari dalam dan sesama sendiri tanpa mampu berbuat apa-apa. 

                        

Kemelut yang dihadapi PR ini bukan kecil kerana ia merupakan masalah yang bertindih, dan merebak pula.  Kalau dulu kita lihat PAS perlu kalahkan DAP dahulu sebelum menang PRU tetapi kini kita lihat di dalam DAP sendiri, ada usaha untuk mengalahkan Dinasti Lim dalam pemilihan parti itu. Justeru bagaimana DAP dapat berhadapan dengan kebangkitan PAS?  

Apa yang berlaku dalam DAP tidak jauh berbeza dengan apa yang berlaku dalam pemilihan parti PKR yang menyaksikan betapa kepimpinan tertinggi sanggup berbuat apa saja untuk memastikan calon pilihan mereka menang.  


Perlu diingatkan bahwa DAP dan PKR kedua-duanya mempunyai ‘kaki’ atau ‘balaci’ setia di dalam PAS yang bersedia berbuat yang sama untuk menang juga.  Oleh itu, walaupun Muktamar PAS berjalan lancar, tetapi percayalah yang parti itu telah retak seribu dan hanya bertahan dengan tampalan gam keegoan masing-masing sahaja.  

Nampaknya, DAP, PKR dan PAS kini bukan lagi satu pakatan, atau lebih tepat, tidak pernah pun berpakat.  Mereka hanya berbuat janji untuk sama-sama menjatuhkan BN dalam pilihanraya, itu saja. 


Mereka tidak pernah benar-benar sepakat untuk memerintah bersama atau menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, kecuali sebagai boneka atau simbol kuasa mereka semata-mata.  

Hakikatnya hari ini, walaupun DAP, PAS dan PKR masing-masing punya pemimpin yang digelar Presiden atau apa jua gelarannya, tetapi Pakatan Rakyat itu sendiri tidak punya pemimpin.  PR hanyalah sebuah bayangan, ilusi atau mimpi manusia-manusia yang gila kuasa dan tidak berpijak di bumi nyata yang kini terhoyong hayang bila dikejutkan dengan gendang perang pilihanraya.

Jangan Tembak Dari Belakang SPRM




Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Pasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataannya kepada media Isnin lepas menasihatkan ahli politik dari semua parti agar tidak "menembak SPRM dari belakang", kerana dikhuatiri tindakan sedemikian hanya akan menyulitkan lagi usaha memerangi gejala rasuah.

"Saya ingin katakan kepada ahli politik daripada semua parti... janganlah tembak dari belakang. SPRM adalah tentera untuk memerangi rasuah. Jika anda menembak kami dari belakang, kepada siapa lagi masyarakat boleh meminta pertolongan untuk menentang rasuah".

Berkemungkinan teguran ini timbul disebabkan kecenderungan segelintir pemimpin parti politik tertentu memberi reaksi negatif dan komen berbaur hasutan dengan niat untuk menjatuhkan kredibiliti dan imej SPRM apabila terdedahnya isu rasuah, penyelewengan atau salahguna kuasa membabitkan puak mereka.

Ini mengingatkan kita kepada isu salah guna kuasa membabitkan DAP di Selangor dalam isu penyelewengan tender kontraktor bumiputera yang kecoh dulu, di mana umum dapat melihat betapa marahnya pemimpin DAP bila SPRM melakukan siasatan ke atas beberapa wakil rakyat mereka.

Berikutan kematian mengejut Teoh Beng Hock, pegawai khas kepada Exco Kerajaan PR Selangor, terus sahaja pemimpin DAP, PAS dan PKR memanipulasikannya untuk meruntuhkan kredibiliti SPRM. 

Walhal bila berlakunya kes kematian itu, tidakpun memberi manfaat pada SPRM kerana Teoh Beng Hock adalah saksi utama badan itu. Tanpa Beng Hock bermakna siasatan SPRM menemui jalan buntu dan DAP pula menjadi pihak yang paling bertuah terselamat dari siasatan lanjut.

Bagaimanapun teguran dan nasihat berlapik oleh Datuk Seri Abu Kassim Mohamed beberapa hari lalu itu sebenarnya hanya bersifat umum dan tidak spesifik pada nama parti politik tertentu pun, maknanya tidak bias atau memihak.

Dengan kata lain, patutnya tidak perlu ada mana-mana pemimpin parti politik yang patut terasa atau sensitif dengan teguran tersebut, apatah lagi untuk membuat penafian terbuka bahawa pihak mereka bukannya tergolong dalam kalangan yang dimaksudkan oleh Ketua pesuruhjaya SPRM.

Namun tak semena-mena, dua hari kemudian Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali ketika diminta mengulas isu itu menegaskan bahawa PAS bukanlah pihak yang dimaksudkan oleh SPRM. 

Sebaliknya pemimpin PAS itu menekankan bahawa PAS sentiasa komited membantu SPRM untuk membendung gejala rasuah dan semua unsur penyelewengan.

Persoalan sekarang kenapa tiba-tiba sahaja PAS melatah bila SPRM mencuit secara umum berkenaan isu tembak dari belakang? Hanya orang yang makan cili sahaja yang akan terasa pedasnya, tak begitu?

Beberapa hari lepas pun PAS seperti meroyan sendiri apabila tak semena-mena mahu mengadakan kempen taklimat untuk menasihatkan ahlinya supaya berkelakuan sopan dan menjauhi politik gengster.

Kebetulannya idea mengadakan taklimat berkelakuan baik itu muncul tatkala isu gengsterisme politik semakin membelit pakatan pembangkang yang sedang berkecamuk dengan tingkah laku ganas ahli dan penyokongnya terutama sekali sewaktu berdemo di atas jalan dan ketika berceramah politik.

Kebelakangan ini nampaknya PAS cepat terasa hati, kena cuit sedikit terus melatah tak tentu pasal mengalahkan orang yang kena sakit gila meroyan.

Sebenarnya PAS tahu, pihak yang gemar menembak SPRM sebahagian besarnya terdiri dari pemimpin-pemimpin PR, malah bukan satu rahsia pun wujud satu kepercayaan dikalangan penyokong PAS dan PR bahawa SPRM adalah talibarut BN.

Doktrin tersebut disebarkan sehingga akibatnya apabila timbul isu penyelewengan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pemimpin PAS, DAP atau PKR, maka dengan segera mereka menuding jari menyalahkan siasatan oleh SPRM diarahkan oleh BN.

Lihat sajalah semasa kecoh kes penyelewengan kuasa melibatkan Arif Fahmi, menantu kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat. Belum pun siasatan tika itu bermula, terus sahaja Nik Aziz meminta SPRM mengecualikan dirinya daripada dilibatkan dengan siasatan.

Apabila isu semakin panas, pemimpin PAS yang lain dan penyokong mereka mula menuding jari menuduh siasatan SPRM bermotifkan politik. 

Begitu juga semasa timbulnya isu rasuah membabitkan tajaan pakej VIP bernilai RM65,000.00 kepada Nik Aziz untuk menunaikan Haji ke Mekah yang diberikan oleh sebuah syarikat yang mendapat kontrak memasang papan iklan di Kelantan, terus sahaja PAS menuduh siasatan oleh SPRM disebabkan pengaruh pemimpin BN.

Tidak cukup dengan tembakan rambang dari belakang untuk mencalar imej dan kredibiliti SPRM, pemimpin PAS juga mempertikaikan siasatan SPRM berhubung kegiatan lombong emas haram di Gua Musang, Kelantan. 

Lebih mengejutkan bila mana, kehadiran pegawai SPRM untuk menyiasat lokasi lombong-lombong haram itu disambut dengan serangan oleh sekumpulan 70 gengster yang bersenjatakan parang dan kayu.

Imbasan beberapa peristiwa di atas cukup untuk membuktikan PAS dan PR menepati kriteria pihak yang dimaksudkan oleh Ketua Pesurujaya SPRM. 

Lagipun sudah menjadi tabie semulajadi pemimpin PAS dan PR untuk hanya menerima keadilan atau hasil siasatan sesuatu kes hanya jika memihak pada mereka sahaja. Bila saja siasatan itu tidak memihak pada mereka, terus sahaja di cop SPRM bertindak memilih bulu atau bias.


Tawaran Mega Pakatan Pembangkang Hanya Janji Manis



Manifesto bukanlah satu perjanjian, demikian kata-kata keramat yang terpancul keluar dari mulut Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim pada 29 Ogos 2012 yang lepas ketika mengulas tuntutan rakyat Selangor yang mahu tunggakan air percuma berjumlah RM300 juta dilangsaikan oleh Kerajaan PKR Selangor.

Maksud pemimpin PR itu ialah apa sahaja yang termaktub dalam manifesto yang dicanangkan oleh PR bukanlah satu bentuk perjanjian yang wajib dipenuhi sebaliknya ia hanya satu umpan politik semata-mata untuk mengaburi mata pengundi. 

Jika sekalipun ia sebenarnya adalah satu janji, namun ia sekadar untuk ditaburi, boleh sahaja bila-bila masa diingkari dan bukannya satu kemestian untuk dipatuhi.

Mungkin menyedari sebahagian besar rakyat masih mengingati kata-kata keramat pemimpin PKR itulah agaknya maka semasa pakatan pembangkang menghimpunkan penyokong mereka di Dataran Rakyat, Kompleks Pas Pahang, Kerdau sehari dua lepas perkataan MANIFESTO dan JANJI diganti dengan perkataan TAWARAN MEGA.

(Diulangi sekali lagi, TAWARAN MEGA dan bukannya JAM OMEGA. Harap baca betul-betul).

Dalam perhimpunan politik penuh retorik yang dihadiri sekitar 7,000 orang penyokong PR itu (media propaganda PR dakwa 20,000 dan 30,000 yang hadir), Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim telah mengumumkan Tawaran Mega 3+6 meliputi peringkat pusat dan negeri.

Antara kandungan tawaran mega peringkat pusat itu termasuklah melibatkan penempatan generasi kedua Felda, pembayaran royalti 20% dan isu prasarana kemudahan perhubungan. 

Diikuti enam tawaran peringkat negeri membabitkan penyediaan lot rumah dan penstrukturan kampung baru, permohonan tanah, isu tanah Orang Asli, penurunan cukai pintu dan sistem tender terbuka.

Melihat pada respon sesetengah penyokong PR yang terlopong mendengar segala tawaran itu sambil bertepuk tangan, mudah untuk kita fahami itu tandanya mereka mudah tertipu dengan retorik terbaru Anwar dan gerombolannya.

Namun bila diperhatikan ramai juga penyokong PR yang lain hanya sekadar tersengih sinis semacam mendengar penjual ubat di jalanan menjual temberang, itu maknanya dah ramai juga penyokong PR yang semakin menyedari tipu daya pemimpin mereka.

Sama ada ia satu manifesto, janji politik atau tawaran mega itu dan ini, maksudnya tetap sama, bunyinya saja berlainan. Hakikatnya reputasi Anwar dan gerombolan pemimpin PR dalam bab menabur janji sana sini sudah terkenal seantero dunia.

Di Selangor, Kedah, Pulau Pinang mahupun Kelantan sehingga kini tiada satupun pendidikan percuma hatta untuk anak-anak yang bersekolah di tadika pun masih perlu membayar yuran bulanan dan yuran pendaftaran tahunan.

IPT kelolaan Kerajaan PKR Selangor yang hanya dua buah itu pun tak termampu untuk diberi pendidikan percuma malah Kedah yang memiliki sebuah IPT pun tak tertanggung yuran pengajiannya oleh Kerajaan PAS Kedah, ada hati lagi nak kelentong orang ramai dengan janji baru yang ditaburi.

Ibu tunggal yang dijanjikan elaun bulanan sampai sekarang tertanya mana perginya janji yang ditaburi. Gaji minima RM1100 yang diwar-warkan sampai sekarang tak terlaksana di Selangor, Kedah, Penang ataupun Kelantan.

Ini semua realiti dan hakiki bila kita membicarakan janji PR. Bagi mereka segala janji manis sama ada yang termaktub dalam manifesto, pengisytiharan di pentas politik mahupun janji yang ditaburi di media-media, semuanya sekadar untuk mengaburi mata khalayak sahaja.

Sumber : Beruang Biru

Tuesday, 11 December 2012

Adakah PAS dalang Perpecahan Ummah??



Sekali lagi Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat cuba mencuci tangan dengan memutar belitkan fakta apabila menuduh UMNO sebagai punca berlakunya perpecahan sesama orang Melayu Islam di negara ini.

Katanya, perpecahan orang Melayu Islam masa kini bukannya disebabkan oleh PAS sebaliknya berpunca dari UMNO yang didakwanya mengetepikan dasar Islam dan lebih selesa dengan semangat kebangsaan.

Hujah Menteri Besar Kelantan itu bukan sahaja menampakkan kedangkalan pemikirannya malah menunjukkan ketaksubannya yang melampau terhadap PAS.

Nik Aziz mungkin lupa, namun sejarah hakiki tidak mungkin dapat dipadamkan bahawasanya kewujudan PAS itu sendiri adalah hasil dari ketamakan kuasa. Dek kerana gagal merebut jawatan Yang Dipertua UMNO maka dari situlah wujudnya PAS hingga ke hari ini. 

Kewujudannya pula bukan atas nama perjuangan Islam sebaliknya bertitik tolak dari dasar dendam kekalahan yang kemudian merebak kepada perpecahan orang Melayu Islam.

Sedar dengan kelemahan itu maka pemimpin PAS berbohong pula kepada rakyat konon penubuhannya adalah hasil dari protes terhadap judi loteri yang dikaitkan dengan UMNO.

Walhal jika itu alasannya kenapa tidak sekarang PAS menjauhkan diri dari PKR dan DAP yang memerintah Selangor dan Penang, yang mana di negeri-negeri itu lesen judi ekor dan lumba kuda masih diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Hatta lesen kedai arak, rumah urut yang tak berlesen pun tumbuh mengalahkan cendawan selepas hujan di negeri yang diperintah oleh rakan-rakan sekedudukan dengan PAS itu. 

Atau mungkinkah semua senario di negeri-negeri yang diperintah PR itu menepati dasar Islam yang dituntut oleh PAS, maka kerana itulah PAS masih setia bersama PR?

Sudah menjadi lumrah mana-mana pemimpin PAS gemar memalitkan tuduhan semberono untuk memperlihatkan pada penyokongnya bahawa UMNO adalah parti yang tidak Islamik, manakala PAS pula didendangkan sebagai parti pejuang Islam.

Dengan berbuat demikian PAS percaya para penyokongnya akan terus setia dengan perjuangan PAS sekalipun sejarah membuktikan punca perpecahan ummah antara penyebab utamanya ialah PAS.

Sekitar tahun 1960 hingga 1980-an banyak perpecahan sesama penduduk sekampung dan sesama keluarga berlaku disebabkan perbezaan fahaman politik gara-gara taksub pada hasutan kepartian yang dibawa oleh pemimpin PAS.

Sembahyang dua imam dalam satu kariah, mendoakan kehancuran sesama Islam serta memboikot kenduri kendara orang Melayu Islam yang condong bersama UMNO, segalanya sudah sinonim dengan watak dan pembawaan PAS dan penyokongnya.

Namun disebalik semua itu, PAS tidak kekok untuk menerima dasar sekularisme dan pluralisme yang diamalkan oleh PKR, malah tidak canggung untuk berpeluk sakan dengan DAP yang akidahnya adalah sosialisme.

Islam bagi PAS hanya sekadar label dan jenama untuk mengabui mata khalayak semata-mata, namun gerak laku dan praktikal yang diamalkan oleh pimpinan PAS langsung tidak mencerminkan sikap Islamik.

Sumber : Beruang Biru